Salam untuk semua yang setia mengikuti penulisan ini. Sekali lagi saya amat berharap rakan-rakan dan taulan yang setia menyebar luaskan penulisan blog ini kepada rakan-rakan lain, untuk manafaat bersama. Penulisan ini bukanlah yang terbaik, tetapi sekurang-kurangnya harapan saya kita dapat memahami serba sedikit tentang perkembangan pendidikan masa kini. Pandangan, saranan, atau komen juga dialu-alukan untuk penambahbaikan blog ini dan juga perkongsian ilmu.
Pada penulisan yang lalu saya menyentuh tentang Pentaksiran Kerana Pembelajaran (assessmeent of learning), pendekatan yang lazim dalam banyak sistem pendidikan di dunia. Sistem ini, kerana telah tersepadu di dalam sistem pendidikan selama ini, dipandang sebagai sesuatu yang amat keramat dan tidak mungkin boleh dirungkai dan digubah semula. Ini pandangan tradisional, berpaksi kepada amalan turun temurun sejak peperiksaan diperkenalkan di China beribu tahun lalu. Namun, perkembangan dunia hari ini, dengan kepesatan perkembangan ilmu dan ledakan teknologi, membuat sistem pendidikan perlu diubah suai, ditransformasikan agar setiap anggota masyarakat di negara kita sentiasa relevan dengan perkembangan terkini ilmu dan teknologi. Tidak terpisah ialah sistem pentaksiran pendidikan yang perlu berwajah baru , berbentuk baru, berkonsep baru dan berfalsafah baru, demi kelangsungan ilmu terkini, kemahiran terkini dan teknologi terkini dalam dunia serba mencabar ini.
Sistem pentaksiran tradisional atau yang biasa dilabelkan sebagai sistem peperiksaan, tidak dapat memenuhi tuntutan keperluan ilmu dan kemahiran serba kompleks pada hari ini dan pada masa akan datang. Kita berdosa sekiranya membekalkan anak-anak kita dengan ilmu dan kemahiran yang telah berlalu, kerana banyak teknologi sedekad yang lalu tidak lagi relevan pada hari ini. Anak-anak perlu dilengkapi dengan set minda yang baru, paradigma yang amat berbeza dengan paradigma semasa kita melalui alam persekolahan 10 atau 20 tahun lalu. Apa yang perlu pada anak-anak adalah keyakinan diri, berani, semangat untuk meneroka dan bersaing, kreatif menghasilkan sesuatu yang baru, berfikiran kritis dan berpandangan jauh ke hadapan. Hari ini dunia berada dalam tapak tangan kita, dengan komputer, telefon pintar, i-pad, dan sebagainya. Semua ini tidak terfikir oleh kita 10 tahun yang lalu. Maka apa yang akan berlaku 10, 20, 30 tahun lagi??? Inilah yang harus menjadi intipati pendidikan masa kini. Kita tidak memenuhkan otak anak-anak dengan ilmu pengetahuan semata-mata, tetapi lebih daripada itu, bagaimana untuk hidup berjaya dalam dunia masa depan.
Sistem peperiksaan menghasilkan keputusan dalam bentuk huruf atau angka tunggal tanpa makna. Kedudukan setiap murid disusun mengikut hiraki daripada yang paling baik ke yang paling lemah kerana sistem peperiksaan berdasarkan teori taburan normal. Setiap kohort tidak boleh dibandingkan dengan kohort yang lain, dan prestasi setiap kohort berdasarkan prestasi kohort tersebut sahaja. Tidak ada indeks standard untuk membandingkan antara kohort. A pada satu kohort tidak sama dengan A pada kohort yang lain. Ini bermakna hampir mustahil untuk melihat satu-satu sistem pendidikan itu semakin maju atau mundur. Segalanya dibuat berdasarkan andaian yang salah. Dan hanya maklumat tentang keupayaan intelek murid, tidak rohani, emosi, jasmani dan kemahiran sosial.
Pentaksiran Untuk Pembelajaran bukan konsep baru tetapi merupakan model P&P yang telah lama wujud dalam sistem pendidikan negara kita, tetapi banyak dipraktikan di luar sistem pendidikan formal. Contoh terdekat ialah apabila kita belajar mengaji Al-Quran - kita berhadapan dengan guru, membaca untuk didengari oleh guru dan guru bertanggung jawab membetulkan sebarang kesilapan sebelum pembelajaran seterusnya akan berlaku. Sebelum kesilapan diperbetulkan, pembelajaran berikutnya tidak akan berlaku. Mudah dan jelas. Apabila mendengar, guru menjalankan peranan mentaksir persembahan anak muridnya, seterusnya guru akan menilai setakat mana kesilapan yang dilakukan, kekuatan dan kelemahan murid, untuk guru merangka strategi tertentu bagi membolehkan anak muridnya belajar. Cepat atau lambat seseorang anak murid menghabiskan pembelajaran bergantung kepada keupayaan murid tersebut. Murid yang cemerlang mungkin tidak mengambil masa lama untuk tamat dan tidak perlu pengulangan semula bacaan berkali-kali, sementara murid yang lemah mungkin akan terpaksa mengulang pembelajaran berkali-kali, ditunjuk ajar oleh rakan sebaya, atau menghabiskan lebih banyak masa berlatih sendirian. Tidak ada peperiksaan, tetapi akhirnya semua murid berupaya membaca Al-Quran.
Pendekatan ini kini sedang dikembangkan dalam banyak sistem pendidikan di banyak negara di dunia, terutama di negara maju. Ontario di Kanada telah menghapuskan sistem peperiksaan berpusat sejak lebih 50 tahun dahulu. Apa yang dilaksanakan adalah pentaksiran formatif di mana pentaksiran dijalankan sepanjang masa pembelajaran, dan guru mentaksir sepanjang waktu untuk mempastikan setiap murid mencapai potensi diri masing semaksimum mungkin. Pelaporan berdasarkan Standard Prestasi yang standard yang digunakan oleh semua guru. Begitu juga di Finland, antara negara Eropah termaju dalam pendidikan, tidak ada peperiksaan berpusat, tidak ada ranking sekolah, dan tidak ada naziran sekolah. Pentaksiran dan penilaian dilaksanakan untuk memberi maklumat kepada sekolah dan murid berkembang dan memajukan diri. Sistem pendidikannya fleksibel, berpandu dari pusat melalui perundangan dan norma, kurikulum, perancangan kerajaan dan penyaluran maklumat, dan pelaksanaan oleh daerah. Sekolah dan guru diberi autonomi yang besar.
Pentaksiran untuk pembelajaran merupakan pendekatan paling relevan bagi transformasi pendidikan negara. Dari hari pertama murid memasuki sekolah, mereka sudah mula ditaksir oleh guru dan pihak-pihak yang dikenal pasti untuk mentaksir, merekodkan kekuatan dan kelemahan setiap murid bagi guru mengatur strategi terbaik untuk memupuk, memperkukuh dan memperkembangkan potensi diri murid. Pentaksiran boleh dilakukan melalui pelbagai pendekatan dan menggunakan pelbagai bentuk instrumen dan item mengikut kesesuaian. Setiap murid berhak memperkembangkan potensi diri mereka dan guru bertanggung jawab membantu murid. Murid ditaksir bukan hanya dari segi akademik, tetapi dari segala konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri mereka. Tanpa peperiksaan berpusat, guru berada dalam keadaan lebih selesa, bebas, bersemangat dan kreatif melaksanakan tanggung jawab mendidik anak-anak. Guru bebas berkarya. Kurikulum standard seharusnya menyediakan kerangka perkara yang harus dialami oleh murid sementara guru dan sekolah diberi autonomi membuat pengisian kepada kerangka yang disediakan. Perbezaan lokasi, sosio-ekonomi, budaya dan kepercayaan merupakan ciri yang membezakan antara sekolah dan pendekatan yang dilakukan oleh guru seharusnya berdasarkan persekitaran sesebuah sekolah. Jika kita ingin melihat guru sekolah seronok mendidik, bebas daripada stres, kreatif dalam penyampaian dan pengisian pelajaran, peperiksaan harus ditiadakan. Maklumat daripada pentaksiran yang dilaksanakan mengikut prosedur dan piawai yang ditetapkan sudah cukup untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan seseorang murid. Standard Prestasi yang standard bagi semua sekolah menjadi ukuran pencapaian murid.
Masalah dinegara kita, terlalu banyak jenis sekolah diwujudkan tanpa matlamat yang jelas dan asas yang kukuh mewajarkan kewujudannya. Seolah setiap ketua yang akan meninggalkan perkhidmatan wajib meninggalkan warisan dalam bentuk kepelbagaian sekolah ini. Sekolah Bestari, Sekolah Berkesan, Sekolah Kluster, Sekolah Berprestasi Tinggi, dan pelbagai jenis sekolah lagi mewarnai sistem pendidikan negara, walhal matlamat pendidikan hanya satu...melahirkan insan yang terbaik dalam semua segi yang akan menjadi warga yang baik. Maka perlu sekali, transformasi sekolah yang dicadangkan melihat pendidikan sebagai satu entiti yang mempunyai satu matlamat, bukan pelbagai entiti yang mempunyai pelbagai matlamat. Sekiranya ada keberanian di kalangan pembuat keputusan, transformasi pendidikan yang dicadangkan harus berwajah baru, wajah yang akan membawa warga Malaysia ke aras tertinggi dalam pendidikan, tanpa melupakan aspek Bahasa Kebangsaan, Agama Persekutuan, Kumpulan Bumiputra dan Pribumi, serta kepelbagaian tahap sosio-ekonomi keluarga.
Sekian untuk kali ini. Ada banyak lagi perkara yang akan disentuh tentang pendidikan dan pentaksiran pendidikan pada penulisan yang akan datang. Sibarkanlah maklumat ini kepada seramai mana rakan dan taulan, semoga semua kita mendapat kebaikan daripadanya. Sekiranya terdapat kekeliruan atau kesilapan dalam penulisan ini, saya mengalu-alukan teguran dan pandangan semua.
Anak Rantau.
28 Mac 2012
No comments:
Post a Comment