Selepas membicarakan tentang Pentaksiran Kerana Pembelajaran dan Pentaksiran Untuk Pembelajaran, serba sedikit ingin dicatatkan tentang hal yang berkaitan dengan peperiksaan. Semua maklum, peperiksaan telah bermula sejak ribuan tahun yang lalu dan menguasai banyak sistem pendidikan dunia hari ini. Namun sudah ada negara yang lari dari belengu peperiksaan demi mencapai makna sebenar pendidikan. Seperti yang sudah saya nyatakan juga terdahulu, matlamat pendidikan adalah untuk melahirkan insan yang terbaik dalam semua segi, dunia dan akhirat, bukan mendapat 10A+ dalam SPM. Tetapi inilah yang dikejar oleh semua pihak yang terlibat dalam pendidikan di negara kita, daripada pembuat dasar sehinggalah kepada peringkat sekolah dan Matalamat pendidikan dikesampingkan, dan pembinaan insan terabai.
Bukan peperiksaan tidak mempunyai aspek positifnya tetapi telah dipesongkan sehingga merosakkan matlamat dan falsafah pendidikan itu sendiri. Peperiksaan hanya memberikan maklumat kognitif murid, keupayaan murid dalam bidang akademik sementara bidang lain tidak disentuh. Para guru berlumba-lumba menamatkan kurikulum seawal mungkin pada tahun peperiksaan, seterusnya memberikan latih tubi dan 'rote learning kepada anak muridnya selama berbulan-bulan sehingga tarikh peperiksaan, para pengetua dan guru besar memerah keringat memikirkan bagaimana untuk meningkatkan keputusan A+ pada kalangan anak muridnya, para pakar motivasi berlumba menganjurkan kem dan kelas motivasi bernilai jutaan ringgit yang dikatakan akan membantu murid menduduki peperiksaan sedangkan yang gemuk adalah kantung mereka, PPD dan juga Pengarah Pelajaran Negeri merangka jadual peperiksaan setara untuk sekolah-sekolah supaya keputusan peperiksaan akan meningkat dan akan menjulang nama-nama mereka sebagai guru terbaik, pengetua terbaik, guru besar terbaik, pegawai pendidikan daerah terbaik atau pun pengarah pelajaran terbaik. Hebatnya peperiksaan sehingga aspek afektif yang melibatkan moral, nilai, adab,kesantunan; serta psikomotor yang melibatkan pembangunan diri murid dari segi kesihatan, kecergasan, kemahiran motor murid terabai, walaupun Falsafah Pendidikan Negara nyata ingin membangunkan insan yang seimbang dan menyeluruh daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Maknanya, insan yang terhasil daripada sistem pendidikan kita tempang, tidak lengkap.
Memang peperiksaan menjadi sumber untuk murid belajar, bersaing dengan positif dan mengurus masa dengan baik, begitu juga guru. Namun penekanan yang keterlaluan terhadap peperiksaan merosakkan matlamat dan objektif pendidikan. Apakah kesan negatif peperiksaan? Antaranya...
- kecewa - kerana ada konsep gagal dalam peperiksaan, murid yang gagal akan merasa kecewa, terutama apabila rakan yang dianggap lebih lemah mendapat kelulusan yang lebih baik atau harapan ibu bapa, keluarga atau sekolah amat tinggi. Kesan ekstrim daripada rasa kecewa ini boleh membawa kepada kejadian bunuh diri yang pernah berlaku dalam kalangan murid sekolah negara ini. Kecewa juga mujud dalam diri ibu bapa, penjaga, dan pihak sekolah apabila harapan tinggimereka tidak menjadi kenyataan.
- Test anxiety - tekanan perasaan akibat peperiksaan yang boleh membawa kepada kesan psikologi kronik, resah, murung, mengasingkan diri dan sebagainya.
- Rendah diri - kerana peperiksaan meletakkan murid pada hiraki tertentu, murid yang berada pada kedudukan bawah berasa malu dan rendah diri, sama ada berbanding dengan rakan sekelas ataupun dengan adik beradik. Perasaan rendah diri boleh membawa kesan jangka panjang seperti putus harapan, bersikap pessimis dan gagal dalam kehidupan.
- Guru mengajar untuk peperiksaan, seperti yang diterangkan diatas
- Salah laku peperiksaan - oleh murid yang menyeludup masuk poin atau kemungkinan jawapan atau nota kecil, menyamar menggantikan orang lain, dan men iru.
- Salah laku oleh guru/ pengetua - guru dan pengetua menjadi role model yang salah ..sebagai penipu apabila berusaha dengan cara tidak jujur untuk mendapatkan maklumat peperiksaan atau kertas soalan daripada pihak yang tidak bertanggung jawab. Terdapat juga kes guru cuba membantu murid yang mengambil peperiksaan dengan kaedah tertentu seperti berkawad di padang bersebelahan dewan peperiksaan, menggunakan kod warna, dan sebagainya. Malah ada guru besar yang mengurung murid yang lemah atau membuat program tertentu untuk mengelak murid yang lemah ini menduduki peperiksaan semata-mata untuk meningkatkan prestasi sekolah.
- Beban kewangan kepada ibu bapa/ penjaga untuk menghantar anak-anak ke kelas tuisyen dan kelas motivasi dengan harapan anak akan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Anak Rantau
10 April 2012
No comments:
Post a Comment