Monday, 26 March 2012

TambahTolakDarabCampur: Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan VII: Pentaksiran Untuk Pembelajaran dan Pentaksiran Kerana Pembelajaran

Salam kepada semua,

Selepas menerangkan serba sedikit tentang pentaksiran dalam pendidikan dan SPPK, seterusnya saya ingin menerangkan pula tentang dua jenis pentaksiran yang menjadi amalan dalam sistem pendidikan iaitu Pentaksiran Untuk Pembelajaran (Assessment for Learning) dan Pentaksiran Kerana Pembelajaran (Assessment of Learning).  Kedua-dua jenis pentaksiran ini berkait dengan proses pengajaran dan pembelajaran formal di sekolah.

Pentaksiran Kerana Pembelajaran - merujuk kepada pentaksiran yang dilakukan selepas sesuatu pembelajaran itu berlaku, selalunya di hujung tempoh satu-satu pembelajaran. Secara mudah, ini adalah sistem peperiksaan yang menjadi fokus utama dalam banyak sistem pendidikan di seluruh dunia.  Seperti yang dikatakan sebelum ini, sistem ini tidak banyak mendatangkan kebaikan kepada murid kerana murid ditaksir setelah tamat satu-satu proses pembelajaran. Bermakna kaedah ini hanya melihat produk dan tidak melihat proses sebagai sebahagian daripada proses pendidikan yang penting. Disinilah kelemahan pendekatan ini. Apabila murid ditaksir dihujung pembelajaran, sebarang kekurangan dan kelemahan murid tidak dapat dikesan. Guru juga tidak mendapat maklumat tentang keberkesanan pendekatan pengajarannya.

UPSR dan PMR adalah contoh pentaksiran kerana pembelajaran ini. Pentaksiran dijalankan di akhir pembelajaran sekolah rendah dan menengah rendah. Apa yang didapati daripada pentaksiran ini adalah pencapaian akademik murid, kehebatan murid mendapat 5A, 7A atau 10A. Bagaimana murid belajar, bagaimana mereka mendapat bilangan A ini dan  bagaimana guru menjalankan tugas mendidik tidak diberi perhatian langsung.  Yang utama adalah keputusan. Oleh kerana guru dan sekolah berlumba-lumba untuk mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan ini, tendensinya guru menghabiskan kurikulum seawal mungkin, menekankan hanya mata pelajaran peperiksaan, dan kemudian selama beberapa bulan sebelum peperiksaan, membuat hanya latih tubi untuk peperiksaan. Mata pelajaran lain terabai -  muzik, pendidikan jasmani, moral, aktiviti kelab dan persatuan dan mata pelajaran bukan peperiksaan lain. Yang terhasil hanyalah aspek intelek dalam FPK, sementara aspek emosi, rohani, jasmani, dan kemahiran sosial ditinggalkan. Maka hasrat murni FPK tinggal hanya sebagai cacatan di atas kertas.

Kesan yang lebih burukkan ialah apabila terdapat pihak tertentu melakukan salah laku dengan berusaha mendapatkan apa yang sering didakwa sebagai soalan bocor. Tidak kira pihak mana pun yang melakukannya, guru, penjaga, ibu bapa...ini adalah tindakan paling hina, menghancurkan amanah yang diberikan untuk mendidik anak-anak. Yang menjadi mangsa adalah anak-anak. Apabila dakwaan itu ternyata bohong, anak-anak akan menjadi mangsa dalam bilik peperiksaan kerana diberikan maklumat palsu. Sekiranya apa yang didakwa ada ketepatannya, mungkin secara kebetulan atau mungkin betul sekiranya ada petugas yang tidak memegang janji dan amanah yang diberikan, anak-anak tetap menjadi mangsa kerana keputusan yang diperoleh bukan keupayaan sebenar anak-anak itu. Anak-anak ini akan menderita apabila melanjutkan pelajaran pada peringkat yang lebih tinggi, Tingkatan 1 atau Tingkatan Empat...mereka tidak berupaya mengikuti pembelajaran yang sepatutnya, apatah lagi jika mereka ditempatkan dengan kumpulan murid yang memang berkeupayaan tinggi kerana itu bukan keupayaan sebenar mereka. Dan paling malang, pihak yang tidak amanah ini menjadi contoh tidak baik untuk murid...mengajar murid menipu dan tidak amanah. Terutamanya guru atau guru besar atau pengetua. Pihak berwajib seharusnya memberikan perhatian serius terhadap perkara ini kerana kewujudan budaya ini dalam sistem persekolahan akan membantutkan usaha menigkatkan kecemerlangan pendidikan negara seperti yang dihasratkan dalam FPK.

Pentaksiran Untuk Pembelajaran - next

Anak Rantau
26 Mac 2012

No comments:

Post a Comment