Salam sejahtera kepada semua.
Tertarik dengan tajuk utama Berita harian hari ini, rasa terpanggil untuk menyentuh serba sedikit tentang topik ini. Jika disorot kembali apa yang telah saya tuliskan sepanjang 5 siri dalam blog Anak Rantau (memang pun anak Rantau - anak Kg. Belangkan, Kuala Sawah), ternyata apa yang disarankan oleh PM amat relevan sekali. Saya telah menyentuh tentang FPK, peperiksaan dan menghuraikan tentang pentaksiran, dan terakhirnya tentang SPPK dan PBS. Keseluruhan penulisan saya menjuruskan kepada kekurangan dalam sistem yang bertumpu kepada peperiksaan semata-mata dan perlunya transformasi dilakukan bagi mengubah keadaan ini, dan SPPK merupakan jawapan yang paling relevan. Walau macam mana cantik sekali pun program pendidikan yang dirangka, selagi sistem peperiksaan dan keputusan peperiksaan menjadi KPI palsu, hasrat yang murni tidak akan tercapai.
Kesedaran tentang kesan negatif peperiksaan telah lama wujud dan diperbincangkan. Di United Kingdom, laporan School Inquiry Commission yang dikeluarkan pada tahun 1886 telah menimbulkan perkara ini.
...the school will find it necessary to be on guard against allowing the examinationss to override everything else....examinations...are liable to abuse, and if boys at schools are induced to view them as the be-all and end-all of school life, it is probable that the good which they do in stimulating study will be very dearly purchased. (Brooks, 1993)
Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan akademik murid. JERI+S yang dipahatkan dalam FPK cuma menjadi retorik, tiada pembangunan insan yang menyeluruh seperti yang diharapkan kerana setiap orang memandang 10A+ sebagai matlamat pendidikan, yang jelasnya amat salah sekali. Justru, transformasi pendidikan amat kritikal untuk direalisasikan secepat mungkin. Terdapat kecenderungan di kalangan pembuat dasar untuk melihat perkara ini secara objektif, tetapi terdapat juga golongan yang amat skeptikal, enggan untuk berubah atau takut untuk berubah. Mereka masih pada paradigma lama, selesa dengan apa yang ada, tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap pembangunan negara, pembangunan modal insan dan pembentukan negara bangsa.
Dalam sistem peperiksaan, seorang murid yang telah menjadi jaguh debat atau syarahan masih perlu untuk menduduki ujian lisan, kerana kehadiran diwajibkan. Apakah perlu ini dilakukan? Berbeza, dalam sistem pentaksiran, murid yang telah mencapai kemahiran sebegini tidak perlu lagi diuji lisannya, sebaliknya guru seharusnya memupuk terus keistimewaan murid ini ke tahap tertinggi. Guru sudah boleh melaporkan keupayaan dan kecemerlangan murid ini. Begitu juga sekiranya seorang murid telah berjaya menerbitkan hasil karyanya dalam akhbar atau majalah utama, guru sudah pasti tahu akan keupayaan berbahasa murid ini, maka tidak perlulah mereka diuji lagi untuk keupayaan berbahasa mereka. Begitu juga dalam mata pelajaran yang lain, atau dalam aspek lain seperti seni, matematik, nilai dan sebagainya. Pentaksiran bukan untuk melulus atau mengagalkan murid, tiada konsep lulus-gagal dalam pentaksiran, sebaliknya pelaporan dalam pentaksiran berbentuk kualitatif, huraian tentang keupayaan seseorang murid dalam konstruk pengetahuan, kemahiran dan nilai/adab. Murid yang telah menampakkan kelebihan dan keistimewaan dalam satu-satu bidang terus dipupuk kelebihan mereka itu. Sistem pentaksiran tidak membunuh bakat dengan peperiksaan, tetapi mengembangkan bakat mereka setinggi mungkin.
Sistem pentaksiran mewujudkan pembelajaran yang menyeronokkan, menggalakkan setiap murid mengembangkan bakat dan keupayaan mereka setinggi mungkin. Mereka tidak lagi dibelenggu oleh peperiksaan semata-mata. Bukan hanya pemikiran kreatif, perkembangan murid dalam apa sahaja bidang akan berkembanga secara sihat dan menyeronokkan.
Semoga perubahan yang dihasratkan PM menjadi kenyataan.
Anak Rantau
14 Mac 2012
No comments:
Post a Comment