Salam kepada semua yang mengikuti blog ini, agar semuanya berada dalam kesejahteraan dan mendapat keberkatan daripada Allah. Saya mengalu-alukan sebarang komen, pandangan dan pendapat demi kebaikan bersama.
Pada penulisan yang lalu ada saya sentuh tentang Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang mempunyai lima komponen iaitu Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Peperiksaan Pusat(PpP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJK) , dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi). Sebelum menjelaskan setiap satu komponen ini, serba sedikit ingin dijelaskan apakah dia SPPK.
SPPK dilahirkan di Lembaga Peperiksaan (LP) sekitar tahun 2007-2009, hasil daripada beberapa siri seminar antara bangsa yang dikendalikan oleh LP di Malaysia, input daripada pakar pentaksiran dari agensi pentaksiran terkenal luar negara seperti Cambridge di UK, ETS di Amerika Syarikat, CITO di Belanda, NZQA di New Zealand, pemerolehan ilmu daripada lawatan kerja serta kursus yang diikuti oleh pegawai LP ke luar negara, input dan pandangan ilmuan pendidikan dalam negara dari universiti tempatan, pandangan tokoh-tokoh masyarakat, bekas pengarah LP, para pendidik dan juga ibu bapa. Segala usaha gigih ini telah diterajui oleh Pengarah Peperiksaan waktu itu, Yg. Bhg. Datu Adi Badiozaman Tuah. Paduan daripada segala input ini telah melahirkan SPPK yang disaran akan mentranformasikan sistem peperiksaan sedia ada di negara kita kepada sistem pentaksiran yang lebih telus, fleksibel dan autentik.
Pengubahsuaian terhadap konsep SPPK akhirnya telah merealisasikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang mula dilaksanakan di sekolah-sekolah mulai 2012. PBS adalah SPPK tanpa komponen Peperiksaan Pusat. Walau bagaimana pun, pada penulisan ini, saya akan menjelaskan serba sedikit tentang kelima-lima komponen SPPK untuk tujuan kefahaman kewujudan sistem ini.
Pentaksiran Sekolah (PS) - merujuk kepada pentaksiran yang sepenuhnya dilaksanakan oleh pihak sekolah, dari pembinaan item hinggalah kepada penghakiman dan penetapan skor. PS memang telah dan sedang dilaksanakan oleh semua guru pada hari ini dan akan terus dilaksanakan, sebagai sebahagian daripada tugas harian guru. PS meliputi keseluruhan hasrat pendidikan yang terkandung dalam kurikulum - pengetahuan, kemahiran dan nilai - justru setiap orang guru semestinya memahami sepenuhnya hasrat kurikulum serta kandungan kurikulum bagi setiap mata pelajaran yang diajarnya. Setiap orang guru juga harus tahu apa yang hendak ditaksir, bagaimana untuk mentaksir, bila mentaksir, siapa yang hendak mentaksir, bagaimana untuk merekod dan bagaimana menyimpan rekod. Kesemua kemahiran ini adalah sebahagian daripada profesionalisma yang harus dimiliki oleh guru. Tanpa kemahiran ini, profesionalisma guru akan dipersoalkan. Setiap hari guru bertemu dengan muridnya, berinteraksi dengan muridnya, mengenali dan memahami muridnya..dan selayaknyalah guru yang mentaksir muridnya, terutama aspek yang tidak boleh ditaksir melalui kertas dan pensil seperti kemahiran dan nilai atau adab.
Pentaksiran Pusat (PP) - merujuk kepada pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru atau pihak sekolah sepenuhnya pada peringkat sekolah tetapi instrumen, peraturan, prosedur, peraturan penskoran, kaedah pelaporan disediakan oleh LP. Begitu juga tarikh dan tempoh pelaksanaan. Antara contoh PP adalah ujian amali, sidang merancang, ujian lisan, dan kerja kursus. Bagi tujuan penyelarasan dan penjaminan kesetaraan skor, markah perlu dihantar ke LP pada tarikh-tarikh yang ditetapkan. Pihak LP akan menjalankan tugas pengesanan sepanjang tempoh pelaksanaan PP bagi menjamin pengendalian yang mengikut peraturan serta kesahan dan kebolehpercayaan skor.
Peperiksaan Pusat (PpP)- merujuk kepada sistem peperiksaan sedia ada di mana keseluruhan pengendalian peperiksaan dijalankan 100% oleh LP, dan sekolah hanya menyediakan bilik atau dewan peperiksaan. Walau bagaimana pun, dengan adanya empat komponen pentaksiran yang lain, PpP yang dicadangkan akan mempunyai bentuk dan format yang berbeza. Bilangan mata pelajaran dan juga kertas peperiksaan akan dikurangkan, begitu juga dengan konstruk serta konteks yang ditaksir. PpP perlu dikekalkan bagi sebagai penjaminan kualiti. Kesemua skor, daripada PBS dan juga PpP akan digabungkan untuk menghasilkan skor akhir seseorang pelajar.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum (PAJK) - merujuk kepada pentaksiran aspek jasmani, kesihatan dan juga kegiatan kokurikulum. Jika sebelum ini, aktiviti ini hanya merupakan kegiatan yang sering diambil mudah oleh guru atau pihak sekolah, di bawah SPPK , maklumat daripada aktiviti ini turut menyumbang ke arah penentuan skor akhir murid. Guru harus merekodkan segala aktiviti ini dengan lengkap agar murid tidak menjadi mangsa kecuaian guru. Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kesihatan umpamanya bukan sahaja untuk menyumbang kepada skor akhir, tetapi amat penting kepada perkembangan diri dan gerakan motor murid. Tindakan awal boleh diambil oleh guru dan pihak tertentu sekiranya seseorang murid dikesan mempunyai masalah dalam perkembangan diri dan juga pergerakan motor mereka.
Pentaksiran Psikometrik (PPsi) - ini merupakan bentuk pentaksiran yang baru, mungkin kepada sebahagian besar guru, walaupun kaunselor di sekolah memang telah terdedah dengan bentuk pentaksiran ini. PPsi bertujuan mengesan kecenderungan, minat dan juga aptitud murid seawal mungkin untuk membantu mereka mengikuti bidang pelajaran yang mereka minati. PPsi mengandungi tiga jenis ujian iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti. Instrumen untuk PPsi mungkin agak asing kepada sebahagian besar guru, namun pihak LP akan membantu pihak guru dan sekolah dalam pengurusan pentaksiran ini. Bila murid akan mengambil PPsi akan ditentukan oleh guru, dan LP akan memberikan cadangan tentang perkara ini. Agak terhad untuk menghuraikan semua aspek ini dalam penulisan ini, namun sekira ada kesempatan nanti, akan saya cuba huraikan tentang PPsi ini. Bentuk dan kerencaman instrumen bergantung kepada tahap umur murid. Maklumat dan data dari ujian ini juga perlu ditafsirkan dengan betul kerana ia boleh menjejaskan masa hadapan murid sekiranya pentafsiran yang tidak tepat dilakukan.
Sekian, semoga apa yang ditulis di sini memberi manafaat kepada semua yang membaca. Insyaallah.
Anak Rantau
13 Mac 2012
No comments:
Post a Comment