Sunday, 11 March 2012

CampurTolakDarabBahagi: Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan V

Salam kepada semua yang mengikuti blog ini. Saya amat berbesar hati kepada semua, dan berharap blog ini dapat disebar luaskan kepada rakan-rakan sama ada melalui link face book atau link yang lain, bagi manafaat bersama. Konten penulisan ini tiada jangka hayatnya kerana boleh sentiasa dirujuk dan sentiasa segar sebagai ilmu yang dipraktiskan di sekolah.

Selepas menerangkan serba sedikit tentang apa dia pentaksiran, kali ini saya akan cuba menerangkan secara ringkas, dalam bahasa yang mudah, apa yang dimaksudkan dengan ujian, peperiksaan, pengukuran, dan penilaian. Setiap satu istilah ini mempunyai makna tersendiri, dan berbeza antara satu sama lain. Perlu diingat, huraian istilah-istilah ini adalah dalam kerangka pemahaman konsep yang praktik yang mungkin membawa kelainan pengertian pada pihak lain, terutama para teoris, namun bagi tujuan penulisan di sini, inilah definisi operasional yang saya pegang dan gunakan.

Ujian dan peperiksaan tidak banyak bezanya kerana kedua-duanya dilaksanakan bagi tujuan yang hampir sama. Sering kali, ujian merupakan peperiksaan berskala lebih kecil, dilakukan di sekolah seperti ujian mingguan, ujian bulanan dan ujian penggal bagi tujuan melihat pencapaian akademik murid. Sering dilaksanakan dalam suasana yang lebih santai berbanding peperiksaan, instrumen yang digunakan juga selalunya lebih mudah sifatnya, bilangan item mengikut kesesuaian, menguji bahagian-bahagian tertentu dalam kurikulum dan tidak menyeluruh seperti peperiksaan awam. Walau bagaimana pun,istilah ujian juga  digunakan bagi ujian psikologi yang lain, yang formal dan ditadbirkan mengikut peraturan dan prosedur yang ketat. Antaranya, Ujian Psikometrik, Ujian Aptitud, Ujian Kecerdasan, Ujian Kemahiran dan Ujian Kecekapan.

Peperiksaan pula merupakan kaedah pentaksiran yang dilaksanakan secara formal, melibatkan penjadualan yang ketat, pembinaan item, instrumen dan pengendalian instrumen yang dikelasifikasikan sebagai sulit, peraturan pengendalian dan pengawasan yang terkawal, juga pemeriksaan kertas jawapan, pemprosesan data dan pengeluaran keputusan yang harus mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Kepatuhan kepada peraturan dan prosedur yang ketat ini penting bagi menjamin integriti peperiksaan yang dilaksanakan, sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri atau pusat.

Pengukuran pula merujuk kepada proses memberikan nilai atau angka, mengikut peraturan yang telah ditetapkan, kepada satu-satu-satu objek fizikal, trait, atribut atau konstruk.  Pemberian nilai atau angka ini diandaikan dapat memberikan perbezaan antara seorang individu dengan individu yang lain.  Bagi objek fizikal, pengukuran mudah dilakukan kerana mempunyai alat yang standard bagi atribut yang diukur seperti tinggi, berat, panjang dan lebar.  Bagi ketinggian, panjang dan lebar ada pita ukur dan bagi berat ada alat penimbang yang standard, bermakna walau di mana ukuran dibuat, nilainya tetap sama.

Tetapi dalam pendidikan, pengukuran melibatkan perkara abstrak, iaitu mental dan konstruk seperti kecerdikan, kognitif dan afektif. Ketepatan pengukuran hanya boleh diandaikan. Berdasarkan teori pentaksiran, instrumen yang mempunyai nilai kebolehpercayaan yang tinggi diandaikan boleh memberikan pengukuran yang hampir tepat.   Instrumen menghasilkan skor dicerap (observed/ obtained score), tetapi skor ini bukan skor sebenar. Dalam diri setiap individu ada skor sebenar (true score) yang tidak diketahui, dan perbezaan antara skor dicerap dan skor sebenar dinamakan ralat pengukuran(error of measurement). Semakin kecil indeks ralat pengukuran, semakin boleh dipercayai skor yang diperolehi oleh seseorang individu, dan begitu juga sebaliknya. Indeks kebolehpercayaan satu-satu instrumen boleh ditentukan melalui praujian dan menggunakan analisis pengiraan statistik seperti KR20, Mean Criterion Score, rpbiserial dan delta. Praktisnya di negara kita, pengukuran adalah berdasarkan
teori taburan normal (normal curve).

Penilaian adalah proses membuat pertimbangan dan akhirnya membuat penghakiman tentang prestasi seseorang individu, sama ada dalam pendidikan atau bukan pendidikan. Penilaian tidak melibatkan aktiviti mendapatkan maklumat, tetapi membuat pertimbangan dan  penghakiman berdasarkan segala bahan bukti yang sedia ada dan/atau yang sedang dipersembahkan.  Dalam kehidupan seharian kita sentiasa membuat penilaian, sama ada apabila bertemu dengan orang baru, perlakuan atau kata-kata yang dikeluarkan, atau apa saja yang dapat kita lihat. Apa yang kita lihat, ditambah dengan apa yang kita tahu, atau apa bahan bukti yang ada, kita membuat penilaian dan akhirnya sampai kepada satu keputusan. Begitu juga apabila membuat penilaian satu-satu persembahan ,keputusan yang dibuat adalah berdasarkan bahan bukti yang kita lihat semasa persembahan, beserta dengan maklumat awal yang mungkin dibekalkan kepada penilai.

Setakat ini buat kali ini, hingga bertemu lagi pada penulisan akan datang, semoga apa yang dituliskan dapat memberi kefahaman dan manafaat walaupun sedikit kepada semua.

Anak Rantau.
11 Mac 2012 waktu Malaysia

No comments:

Post a Comment