Thursday, 8 March 2012

CampurTolakDarabBahagi: Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan 1V

Salam Satu Malaysia kepada semua.

Seperti dijanjikan, apakah yang dimaksudkan dengan peperiksaan dan pentaksiran dalam pendidikan, dan apakah lima komponen dalam SPPK?

Pentaksiran merupakan konsep yang amat luas dalam pendidikan, merangkumi keseluruhan aktiviti pengumpulan maklumat murid sehinggalah kepada pelaporan. Jangan kelirukan konsep ini dengan peperiksaan kerana kedua-duanya mempunyai perbezaan yang amat ketara. Pentaksiran meliputi beberapa konsep lain yang sering digunakan dalam pendidikan - pengukuran, penilaian, ujian dan juga peperiksaan. Saya akan cuba menghuraikan kesemua konsep ini semudah mungkin untuk difahami oleh semua pembaca, ssama ada yang biasa dengan terma-terma ini ataupun yang tidak biasa.

Apa dia pentaksiran?

"...assessment is not one, but several things..." (Eisner, 1993)

"Pentaksiran yang baik memberi maklumat yang penting untuk membantu pelbagai pihak membuat keputusan, sama ada murid, guru, ibu bapa, majikan serta pembuat polisi" (Murphy & Torrance, 1988)

Bagi tujuan operasional, pentaksiran didefinisikan sebagai ..

" proses mendapatkan maklumat tentang seseorang murid dengan menggunakan kaedah tertentu dan instrumen tertentu bagi tujuan membuat pertimbangan dan seterusnya membuat penghakiman tentang hasil pembelajaran murid tersebut".

Proses bermaksud aktiviti dijalankan sepanjang masa, ada kitaran masanya, bukan one-off . Ini bermakna seseorang murid itu ditaksir sejak hari pertama dia memasuki sekolah sehinggalah ke hari terakhir dia berada di sekolah tersebut. Pentaksir bertanggung jawab
melaksanakan pentaksiran, merekodkan dan menyimpan semua maklumat yang ditaksir secara sistematik dan disimpan di tempat yang selamat.

Maklumat yang ditaksir bergantung kepada aspek penting yang ditentukan dalam kurikulum formal dan juga pendidik. Secara umumnya, apa yang ditaksir adalah konstruk yang ingin dibangunkan dalam diri seseorang murid iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap/adab/nilai. Konten mata pelajaran merupakan hanya sebahagian daripada perkara yang ditaksir.  Bagaimana konstruk ditaksir bergantung kepada konteks yang difikirkan sesuai oleh pentaksir dan murid ditaksir apabila mereka sudah bersedia atau telah  melalui pengalaman pembelajaran.

Kaedah mentaksir dalam pentaksiran adalah fleksibel. Ada banyak kaedah yang boleh digunakan oleh pentaksir, dan pentaksir boleh mencari kaedah yang paling sesuai mengikut keupayaan murid, persekitaran dan kebolehlaksanaan kaedah tersebut. Setiap pentaksir mungkin menggunakan kaedah yang berlainan tetapi maklumat yang diperolehi mungkin sama. Tidak ada gunanya mencari kaedah yang canggih sedangkan ianya tidak praktikal untuk dilaksanakan. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah soal jawab, temu bual, kuiz, congak, mengeja, pemerhatian, ujian ringkas, dan banyak lagi. Dalam pentaksiran, yang penting adalah maklumat yang autentik dan tepat tentang seseorang murid itu. Kerana itu guru adalah orang yang paling sesuai mentaksir anak didiknya.  Guru banyak berinteraksi dengan murid sepanjang masa persekolahan. Pentaksiran juga boleh dibuat berulang kali untuk kostruk dan konteks yang sama sehingga murid benar-benar menguasai konstruk dan konteks tersebut.

Kegunaan instrumen juga fleksibel. Jangan fikirkan instrumen seperti kertas peperiksaan yang ada jadual waktu, masa tertentu dan sebagainya.Ianya salah sama sekali. Pentaksiran boleh dilakukan pada bila-bila masa - dalam kelas, selepas kelas, di kantin, di padang permainan, masa perhimpunan, masa berbual dengan murid dan pada banyak situasi lagi.  Satu item boleh menjadi satu instrumen. Bagi kaedah pentaksiran seperti temu bual atau soal jawab, senarai item berbentuk soal selidik boleh digunakan. Bagi pemerhatian, senarai semak boleh disediakan. Ujian ringkas merupakan satu dua item tentang perkara yang sudah dipelajari, dilaksanakan sebelum memulakan pengajaran contohnya, untuk mengetahui kefahaman murid tentang perkara yang telah diajar sebelumnya. Ini merupakan feed-back kepada guru untuk mengetahui kefahaman murid, dan sama ada perlu pengajaran diulang kembali untuk memberi kefahaman atau membetulkan kekeliruan.

Membuat pertimbangan adalah peringkat kritikal kerana ia memerlukan segala sumber maklumat yang ada untuk meletakkan murid pada tahap keupayaan sebenar mereka dari segi pengetahuan, kemahiran dan sikap/nilai/adab. Kerana itu, semua maklumat perlu disimpan secara sistematik dan selamat. Kekurangan maklumat membuatkan pertimbangan tidak tepat dan akan menjejas masa depan murid. Pertimbangan mesti berdasarkan maklumat yang ada, bukan tekaan atau telahan pentaksir.

Penghakiman merujuk kepada penetapan tahap akhir pentaksiran, meletakkan murid pada tahap keupayaan yang bagaimana dan bentuk pelaporan bagaimana harus dibuat.  Dalam pentaksiran, penghakiman bukan berbentuk nombor tunggal (1,2,3....9) atau huruf tunggal (A,B,C...G), tetapi berbentuk laporan ringkas yang meneritakan tahap keupayaan sebenar murid itu mengikut konstruk yang ingin dibangunkan. Penghakiman juga boleh menggunakan standard prestasi, iaitu pelaporan dalam bentuk band, selalunya dari band 1 hingga band 6. Untuk penghakiman yang piawai, standard prestasi harus dikeluarkan oleh agensi pusat (Lembaga Peperiksaan). Setiap band akan mempunyai huraian keupayaan murid tentang setiap konstuk yang ingin dibangunkan.

Sekian setakat ini, banyak lagi yang akan disentuh pada penulisan akan datang.

Anak Rantau
9 Mac 2012

No comments:

Post a Comment