Tuesday, 6 March 2012

CampurTolakDarabBahagi : Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan 111

Salam Satu Malaysia buat semua.

Peperiksaan sentiasa memainkan peranan dalam kehidupan manusia sejak dahulu lagi. Terawal, maklumat tentang peperiksaan datangnya dari negara China, pada zaman pemerintahan Maharaja Shun pada tahun 2357SM bila mana peperiksaan berperanan menentukan siapa dan ke tahap mana seseorang boleh berkhidmat dengan pemerintah. Peperiksaan yang berdasarkan falsafah dan perundangan China purba dijalankan dengan amat ketat sekali, mengambil masa sehingga satu bulan.

Pada hari ini, peperiksaan masih menjadi sebahagian yang amat penting dalam banyak sistem pendidikan di banyak negara.  Peperiksaan mengawal apa yang hendak diajar di sekolah oleh guru, bukan kurikulum. Ini mengakibatkan pendidikan jauh tersasar daripada matlamat kurikulum, dan kesannya insan yang dihasilkan tidak seimbang dalam banyak aspek. Anak-anak kehilangan keseronokan masa kanak-kanak mereka kerana peperiksaan.

Walau bagaimanapun, banyak negara, terutama di negara-negara maju,telah lari daripada sistem peperiksaan dan mencari alternatif terbaik bagi memenuhi matlamat pendidikan. Negeri Ontario di Kanada telah menghapuskan sistem peperiksaan sejak lebih 50 tahun yang lalu, begitu juga Alberta.. Di Eropah, Finland dan negara-negara Scandinavia turut beranjak daripada sistem peperiksaan tradisional. Di Amerika Syarikat, banyak negeri telah mencuba pakai banyak pendekatan bagi mencari alternatif terbaik untuk peperiksaan.  Pelbagai pendekatan diperkenalkan namun belum ada satu kaedah piawai untuk diguna pakai di seluruh dunia kerana kepelbagaian budaya dan sistem masyarakat. Pendidikan terbaik seharusnya hampuir dengan budaya setempat. Dan pendidikan seharusnya menyediakan anak-anak untuk masa depan, bukan terus mengekalkan tradisi lama.

Di negara kita, penimbaan ilmu dari pelbagai negara ini telah menghasilkan satu cadangan alternatif kepada peperiksaan. Lembaga Peperiksaan, sebagai badan utama yang mengendalikan peperiksaan awam  negara  telah menghantar kumpulan-kumpulan pegawai ke luar negara dan juga menganjurkan beberapa siri seminar antara bangsa bagi mencari pendekatan terbaik, sesuai dengan sosio-budaya negara kita. Hasilnya, satu cadangan, Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) telah dikemukakan, mengandungi lima komponen pentaksiran iaitu Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat, Peperiksaan Pusat, Pentaksiran Pendidikan Jasmani dan Ko-kurikulum dan Pentaksiran Psikometrik, untuk dilaksanakan. Dan bermula pada tahun 2012, Pentaksiran Berasaskan sekolah mula dilaksanakan di semua sekolah di Malaysia, dimana empat daripada lima komponen SPPK diaplikasikan, kecuali Peperiksaan Pusat yang akan berjalan seperti yang diamalkan masa kini.

Apakah peperiksaan dan apakah pentaksiran, serta apakah huraian kelima--lima komponen SPPK yang dicadangkan akan dihuraikan pada penulisan akan datang.

Semoga bertemu lagi jika diizinkan Allah. Bersyukur terhadap segala nikmat yang telah diberikan kepada kita selama ini. Amin.

Anak Rantau
7 Mac 2012





No comments:

Post a Comment