Monday, 5 March 2012

Campur Tolak Darab Bahagi : Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan 11

Salam Satu malaysia kepada semua,

Penulisan terdahulu menggarap sejarah pendidikan negara secara ringkas. Dapat dilihat bagaimana kesan pecah dan perintah penjajah melemahkan kekuatan negara, namun kesedaran beberapa orang pemimpin yang menyedari kepentingan perpaduan nasional telah membawa sistem pendidikan negara ke aras yang kita ada pada hari ini. Namun masih banyak yang perlu dilakukan, banyak pembetulan jajaran yang perlu dibuat untuk membolehkan pendidikan negara melonjak ke aras tertinggi dan melahirkan manusia yang  seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Apakah Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)? Bagi para pendidik, FPK bukan perkara pelik. Kepada setiap pendidik, FPK seharusnya berada dalam jiwa mereka, memahami dan menghayati hasrat FPK demi masa depan anak-anak didik dan kesinambungan pembangunan negara. FPK lahir rentetan daripada pelaksanaan KBSR dan KBSM  pada tahun 1988, merealisasikan hasrat yang tersurat dan juga tersirat dalam laporan-laporan terdahulu - Laporan/ Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 dan juga Rukun Negara yang menjadi pegangan pembentukan negara Malaysia selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969. FPK adalah Falsafah Pendidikan Negara - merangkumkan segala hasat murni bagi pembentukan masarakat dan negara Malaysia yang maju dan utuh. Pendidikan dilihat sebagai satu-satunya pendekatan untuk memupuk perpaduan di kalangan anak-anak Malaysia dan juga masyarakat berbilang kaum dan merapatkan jurang ekonomi antara kaum. FPK menjadi arah tuju pendidikan di Malaysia.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

 "Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi     potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."


Jelas matlamat pendidikan negara adalah ke arah melahirkan insan yang sempurna dari segala aspek kehidupan serta insan yang boleh menyumbang kepada kehidupan, bukan insan statik dan terkongkong dalam kepompong sendiri. Kesempurnaan hidup tidak terhad kepada kehidupan duniawi, tetapi juga kehidupan akhirat. Nyatanya hala tuju pendidikan kita amat jelas, namun seperti yang disebutkan di atas, banyak perkara perlu dijajarkan untuk mencapai harat FPK ini. Realitinya kini, praktis sistem pendidikan kita tidak seimbang. Antara pembangunan intelek, rohani, emosi dan jasmani dengan tambahan kemahiran sosial, sistem pendidikan kita secara jujurnya hanya bertumpu kepada aspek intelek dan meminggirkan aspek-aspek yang lain. Nyatanya setiap tahun guru mengejar masa untuk menghabiskan kurikulum, kemudian latih tubi, gerak gempur, peperiksaan setara, dan pelbagai lagi ....hanya untuk menghadapi peperiksaan.

Tuisyen menjadi perniagaan yang subur dan menguntungkan, dan tumbuh di merata tempat. Guru sentiasa dalam keadaan cemas dan gelisah kerana prestasi disandarkan kepada keputusan peperiksaan, menjadi KPI palsu, menjadikan sekolah  kilang mengeluarkan murid yang hanya pandai akademik.  Berapa ramai guru yang tertekan, menghadapi kemurungan dan akhirnya burnout, sementara berapa ramai pula murid berprestasi rendah dan sederhana menjadi korban sistem yang disalah laksanakan. Tidak lagi mengambil kira guru yang melanggar amanah dengan mendapatkan maklumat peperiksaan secara tidak sah, ibu bapa yang terpaksa mengikat perut untuk bayaran tuisyen, murid yang melakukan salah laku dalam peperiksaan dan Lembaga Peperiksaan yang terpaksa merangka langkah-langkah keselamatan yang ketat untuk mengelakkan salah laku dalam peperiksaan. Andai terdapat keraguan, kos mengadakan semula pengendalian peperiksaan amat tinggi. Kesan psikologi terhadap pegawai Lembaga Peperiksaan, pengawas peperiksaan, pemeriksa kertas peperiksaan, murid, guru, ibu bapa dan masyarakat juga amat besar.

Peperiksaan menjadi segalanya. Sistem pendidikan menjadi sistem berpusatkan peperiksaan, bukan membangunkan manusia. Justru pemikiran semula kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara harus dinilai semula dengan serius. Kaedah alternatif harus difikirkan untuk kebaikan pendidikan dan masa depan negara. Negara tidak mampu untuk terus melahirkan manusia yang tidak seimbang, mempunyai kelayakan akademik tinggi tetapi pincang dalam aspek yang lain. Pastinya bukan mudah untuk merungkai amalan yang telah sebati dalam jiwa massa selama ini, namun tanpa memulakan langkah pertama, kita tidak akan sampai kemana. Terdapat  sistem alternatif yang boleh dikenal pasti, dan ini akan dibincangkan pada penulisan yang akan datang.


Anak Rantau
5 Mac 2012







No comments:

Post a Comment