Bermula hari ini saya ingin menukilkan serba sedikit tentang pendidikan dan pentaksiran dalam pendidikan. Umum mengetahui, pendidikan merupakan sektor yang amat penting dalam pembangunan sesebuah negara bangsa. Melalui pendidikan, hala tuju dan ideologi negara ditentukan, falsafah dan prinsip kehidupan negara diterapkan, nilai-nilai yang ingin diamalkan oleh penduduk disampaikan. Pendidikan menentukan perkembangan pembangunan sesebuah negara. Umur kemerdekaan bukan penentu kemajuan dalam pendidikan tetapi misi dan visi yang jelas, komitmen pemerintah dan sokongan rakyat adalah faktor utama.
Setelah lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan, kita boleh berbangga dengan pencapaian yang telah diperoleh dalam pembangunan pendidikan. Di negara kita ini, pendidikan menjadi alat perpaduan, bagi negara yang berbilang ethnik dan keturunan serta agama. Dan sewajarnya ia begitu. Di zaman penjajahan, dasar pecah dan perintah berjaya melemahkan kekuatan negara dan perpaduan rakyat dengan memisahkan setiap golongan ethnik dengan sistem pendidikan masing-masing. Orang Melayu disajikan dengan pendidikan Melayu dengan matlamat menjadikan mereka petani dan nelayan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka, kekal hidup di luar bandar dengan cara hidup tradisional. Orang Cina dan India diberikan kebebasan mendirikan sekolah masing-masing dengan menggunakan guru dan kurikulum daripada negara Cina dan India dengan matlamat orang Cina berkecimpung dalam bidang perniagaan, perlombongan dan perladangan sementara orang India menyumbangkan tenaga boroh murah kepada industri ini. Akibatnya negara berpecah belah, setiap kumpulan ethnik dipisahkan dengan kegiatan ekonomi yang berbeza, yang berkait rapat pula dengan taraf hidup dan sosio-ekonomi yang amat besar jurangnya. Orang Cina berkiblat kepada negara Cina sementara orang India berkiblat kepada negara India. Tiada semangat nasionalisma dan kenegaraan di kalangan mereka.Kekayaan negara dibolot oleh satu kumpulan ethnik sahaja iaitu ethnik Cina sementara orang Melayu dan India terus berada dalam keadaan mundur dan ketinggalan dalam segala aspek. Dan legasi ini masih kekal dalam masyarakat kita pada hari ini.
Kita seharusnya berterima kasih kepada pemimpin masa lalu, sejak sebelum kemerdekaan telah cuba merubah keadaan ini. Perkembangan positif ini bermula dengan Laporan Barnes(1951). Walaupun tidak menjurus kepada sistem pendidikan nasional, Laporan Barnes antara lain mencadangkan sekolah satu aliran dengan menggunakan Bahasa Melayu dan Inggeris sahaja. Namun cadangan ini ditentang oleh orang Cina dan India yang mahu mengekalkan pendidikan dalam bahasa masing-masing. Akibatnya, Jawatankuasa Fenn-Wu dan Jawatankuasa Pendidikan India ditubuhkan bagi mengkaji bantahan ini dan akhirnya, walaupun mulanya membantah, kedua-dua jawatankuasa ini akur menerima Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi mahukan Bahasa Cina dan Tamil diajar kepada anak-anak mereka.
Ordinan Pendidikan 1952 akhirnya diwujudkan dan berdasarkan ketiga-tiga laporan tadi, menetapkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar di sekolah. Walau bagaimanapun sekolah Cina dan India dibenarkan terus wujud. Ordinan ini merupakan langkah awal ke arah pewujudan sistem pendidikan yang mampu membentuk satu rupa bangsa, mewujudkan satu jenis sekolah kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan memberikan pendidikan percuma kepada kanak-kanak berumur 6 tahun ke atas.
Pada tahun 1955, Persekutuan Tanah Melayu telah mendapat taraf kerajaan sendiri dan diterajui oleh Parti Perikatan. Kerajaan telah melihat perpaduan kaum sebagai masalah utama ke arah pembentukan sebuah negara yang bersatu padu dan berdaulat kesan dasar pemecahan sistem pendidikan oleh pihak penjajah. Menteri Pelajaran waktu itu, Haji Abdul Razak Hussein telah menubuhkan satu jawatankuasa yang beliau sendiri pengerusikan, dengan tujuan menggubal suatu dasar yang dapat mewujudkan dan memelihara kestabilan sosial dan politik bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat. Laporan Razak dikeluarkan pada tahun 1956 dengan matlamat membentuk satu sistem pendidikan kebangsaan bagi semua kaum dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama. Laporan Razak telah mengemukakan 17 cadangan, antara lain:
- Sukatan pelajaran yang sama bagi semua sekolah
- Bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama di sekolah
- Sekolah rendah ditukar menjadi sekolah kebangsaan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
- Bagi sekolah jenis kebangsaan, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil menjadi bahasa pengantar
- Penubuhan satu jenis sekolah menengah sahaja untuk semua kaum
- pelajaran percuma untuk sekolah rendah
- sekolah rendah dijadikan sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan
- persekolahan sehingga umur 15 tahun
- naik kelas secara otomatik
- peperiksaan am di sekolah menengah dalam bahasa rasmi
Anak Rantau
4 Mac 2012
No comments:
Post a Comment