Wednesday, 29 February 2012

Campur Tolak Darab Bahagi - Zaman Dulu-dulu

Salam Satu Malaysia kepada semua,

Kampung semakin lenyap dalam arus pembangunan masa kini, namun ramai yang kita dari kampung sering merinduinya.  Tegur sapa, gurau senda, hilai ketawa, kerja sama..nilai murni yang teguh terbina dalam budaya masyarakat kampung. Emak, abah, datuk, nenek, moyang, abang, adik, kakak seringnya tinggal dalam keluarga besar. Pak long, mak long, pak ngah, mak ngah, tok lang, nek lang, tok teh, nek teh, tok cu, nek, cu, sepupu sepapat , saudara mara jauh dan dekat ..semua dekat dalam kehidupan kampung.

Kenangan selalunya menyentuh rasa, perjalanan hidup yang menempuh pelbagai rona, dulunya yang sama sekali tidak sama seperti hari ini.  Hari ini penuh dengan kemudahan, dari segala segi. Tapi tidak dulu.  Hidup di kampung yang serba kekurangan, tidak tergambar oleh anak-anak masa kini yang telah  tersedia dengan bekalan elektrik air paip, televisyen, telefon, lebuh raya, kereta, monorel, LRT dan sebagainya. Dulu, jalannya berkaki ayam (tiada kasut adidas atau nike), minumnya air telaga (tiada coke atau pepsi), mandinya di sungai (tiada kolam renang), komunikasinya surat dan telegram (tiada hand phone atau i-phone, SMS dan MMS), hiburannya radio (tiada tv, CD, astro), makannya nasi dengan sayuran atau ikan (tiada McD atau KFC), mainnya dilaman, padang, sawah atau sungai (tiada computer game atau paint ball), belaannya ayam, lembu, kerbau dan kambing (tiada kucing siam atau ikan kelisa).

Malam di kampung hening, sunyi dan dingin. Berjalan ke mana-mana menggunakan pelita minyak tanah atau andang dalam kegelapan malam. Bunyi burung hantu, burung tukang, burung cengkuit, riang-tiang, cengkerik, katak di paya dan lembah bagaikan muzik di malam hari. Tatkala  senja, burung tattibau menandakan kedatangan malam dan di subuh hari, kokokan ayam menandakan kemunculan sang suria. Dingin pagi  menusuk ke tulang sum-sum, embun bergenang di hujung daun dan rumput, bak mutiara yang berkilauan disinari mentari pagi.  Bersih dan nyaman udara yang tanpa pencemaran. Jernihnya air sungai kaya dengan hidupan yang membawa rezeki - ikan, siput, dan udang.  Di dingin pagi itulah para petani melangkah ke bendang, ke ladang, ke sungai  mencari rezeki.

Hidup amat simple dan tenang. Sebarang kegembiraan dirai bersama. Sebarang musibah dan kedukaan dikongsi bersama. Yang tua dihormati, yang muda disayangi. Adat resam subur dalam masyarakat. Budaya dipertahankan, agama dijulang. Dari kemurnian budaya inilah lahirnya semangat pejuang, dari menuntut kemerdekaan hinggalah ke pencapaian pendidikan, keluar dari belenggu kemiskinan dan serba kekurangan kepada kehidupan yang lebih selesa. Namun perubahan ini dibayar dengan kos yang tinggi, kehilangan budaya yang murni apabila materialistik mengganti keluhuran hati budi dan kejujuran.

Masa tak akan berputar balik, kecuali dalam ingatan dan nostalgia. Sehampir mungkin titisan tinta untuk tatapan generasi akan datang. Suasana desa tidak seperti dulu, juga kehidupan. Tiada rimbunan  pokok-pokok, hutan belukar dan sawah padi, tiada keriangan dan hiruk pikuk semasa mengubah anak padi atau musim menuai, kayu berakar atau mantai, tiada ketukan lesung mengemping padi sahut menyahut di malam hari selepas musim menuai, dan tiada lagi pesta mengecar dan mmenimba lubuk selepas musim menuai. 

Kini, sawah sudah kekeringan, pundong di sawah hanya tinggal dalam ingatan, tuai padi hanya berada dalam lipatan sejarah, kepuk padi sudah lama diruntuhkan, sungai sudah sedangkal keting walaupun dulu tempat bercempera dan  acup dalamnya. Tapi jiwa dan semangat desa tetap kekal dalam sanubari. Sekadar coretan untuk tatapan yang berkesempatan.


Anak Rantau
1 Mac 2012.


No comments:

Post a Comment