Salam Satu Malaysia kepada semua yang melewati blog ini. Blog yang tak seberapa tapi cuba untuk berkongsi apa-apa kebaikan yang boleh mendatangkan manafaat kepada semua.
Seringnya, dalam mengimbau perjalanan hidup, kita kembali ke zaman-zaman yang telah dilalui. Zaman pahit manis, kenangan suka duka, jatuh bangun, kegagalan dan kejayaan. Pastinya akan terukir senyuman serta sebak di dada apabila zaman berlalu diterokai semula. Pastinya zaman kanak-kanak sesuatu yang indah bagi banyak kita dan zaman itulah yang menjadikan apa kita pada hari ini. Buat diriku, itulah zaman yang penuh dengan pengalaman indah, membentuk pribadi dan keyakinan diri.
Sebagai anak desa dalam keluarga yang tidak kaya harta tapi kaya budi bahasa dan kuat agama, datuk ku seorang guru agama dan menjadi imam surau di kampung, pernah belajar pondok di Kelantan. Dilahirkan dan membesar dalam keluarga besar, extended family, aku membesar dikalangan emak abah, datuk nenek, mak saudara, pak saudara, anak-anak angkat datuk dan nenek, murid mengaji datuk serta kaum keluarga yang amat rapat. Sekampung menjadi penjaga setiap anak pada waktu itu. Hidup tak pernah bosan walaupun tanpa duit ditangan, pakaian lusuh bertampal, malam diterangi pelita dan lampu minyak tanah, sungai dan perigi sebagai sumber air minuman. Gelita malam hanya disuluhi cahaya bintang dan bulan. Perigi dan sungai juga menjadi tempat membersih diri dan rekreasi, bercempera sewaktu lepas sekolah atau bila saja masa terluang, mengundang Nyang Saebah membawa galah menghambat pulang kerana hari telah lewat petang atau telah berjam-jam bercempera tanpa menghiraukan makan minum.
Sepupu dan dua pupu adalah rakan rapat di samping adik beradik, sawah padi menjadi tempat permainan dan pengerat hubungan, kenduri kendara dalam kekangan hidup desa sebagai temasya menikmati hidangan yang lebih instimewa daripada menu harian, mungkin ayam, daging atau ikan laut. Hidup dalam masyarakat yang erat, setiap orang mengenali seisi kampung, setiap orang yang tidak dikenali akan diawasi, keselamatan tanggung jawab setiap penghuni desa. Gotong royong budaya semua. Setiap peristiwa dirai bersama, kayu berakar kerana majlis perkahwinan, ke hutan bersama mencari buluh dan akar untuk dibuat khemah; mantai sebelum hari raya, mengorbankan lembu bersama dan mengagihkan kepada semua; mengubah anak padi pada musim menanam padi, beramai-ramai membantu setiap yang mengerjakan sawah, begitu juga semasa menuai, malah menukar atap rumah, membaiki rumah, membaiki parit dan jalan merupakan usaha bersama. Yang tidak berkemampuan dibantu. Hidup tidak mewah tetapi kaya dengan budi bahasa, hormat menghormati dan sayang menyayangi.
Betapa indahnya alam kanak-kanak di desa, tidak pernah meminta, tapi penuh dengan imaginasi dan kreativiti. Permainan bukan dibeli tapi dibuat sendiri, lempar kotak rokok, lempar selipar, main getah, galah panjang, polis sentri, konda kondi, dan macam-macam lagi. Alam adalah sekolahnya, sawah padi kelasnya, menoreh getah amalinya, sungai rekreasinya, hutan eksperimennya..tahu apa yang boleh dimakan atau tidak, belajar apa yang boleh dilakukan atau tidak. Di rumah tiada kemewahan, tidur beralaskan tikar mengkuang, makan berlaukkan sayur di persekitaran dan ikan dari sungai dan sawah. Kegembiraan seringnya pada hari raya, bila kesempatan untuk mendapat pakaian dan kasut baru, setahun sekali.
Sekolah juga amat menyeronokkan. Berjalan kaki ke sekolah, dengan kasut yang telah berlubang baru diganti, uniform yang hanya sehelai dua dan bertampung silih berganti tidak menjadi alasan untuk rendah diri kerana semuanya sama. Guru amat dedikasi, walau pada ganjaran yang amat minimum diperolehi, tiada kelas tambahan, tiada kelas tuisyen, tiada kerja rumah...semua berlaku dalam bilik darjah dan persekitaran sekolah. Guru mengajar mengikut keupayaan murid, tiada tekanan peperiksaan, namun masih ramai yang berjaya melangkau kelas dan meneruskan persekolahan hingga ke peringkat tertinggi..memiliki ijazah kedoktoran dalam pelbagai bidang. Balik sekolah, alam adalah medan permainannya, ayam, kambing, lembu, kerbau..teman sepermainan. Semuanya ilmu yang tidak ternilai harganya. Semuanya bekal untuk menghadapi alam penuh cabaran hari ini.
Justru, kenapa anak-anak masa kini dirampas dari menikmati alam kanak-kanak mereka? Alam ini tak akan berulang kembali, masa tak akan dapat berputar balik, malang mereka kehilangannya. Seawal memasuki alam pra sekolah, sehinggalah dewasa, hidup mereka ditekan peperiksaan, peperiksaan, peperiksaan. Ibu bapa, guru, keluarga, massa...juga hidup mereka dikelilingi peperiksaan. Kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas bimbingan peperiksaan, motivasi peperiksaan...hingga anak-anak ini menjadi robot peperiksaan. Anak-anak dulu juga ke sekolah, juga belajar, tanpa peperiksaan..masih boleh menjadi manusia. Maka jika berbalik kepada apakah dia pendidikan, jawapan yang paling mudah adalah..pendidikan adalah proses untuk melahirkan manusia yang baik, bukan manusia yang dapat 10A. fikir-fikirkanlah.
Anak Rantau
27 Februari 2012
No comments:
Post a Comment