Wednesday, 22 February 2012

Tambah Tolak Darab Bahagi : Peperiksaan 111

Salam Satu Malaysia,

Beberapa hari tidak menulis, demam.  Semoga selepas sihat akan dicuba menulis sekerap yang mungkin.  Pada penulisan yang lalu dikemukakan pandangan tentang sisi negatif peperiksaan. Malah sisi negatif itu amat banyak, cuma selama ini tiada yang mahu menimbulkannya, mungkin  untuk tidak mahu  mengganggu kehebatan peperiksaan yang selama ini menjadi matlamat utama pendidikan negara. Demi peperiksaan, pakar-pakar motivasi mengendalikan bengkel-bengkel khas peperiksaan, organisasi tertentu mengendalikan kelas-kelas bimbingan peperiksaan, syarikat-syarikat  tuisyen (bisnes berjuta ringgit setahun) mengendalikan program-program perdana peperiksaan dengan bayaran beratus-ratus ringgit seorang murid, disamping program sekolah yang telah dihuraikan dahulu.

Natijahnya, kehidupan seorang murid di Malaysia adalah berkisar disekitar peperiksaan. Kehidupan seorang guru adalah berkisar di sekitar peperiksaan. Maka di manakah letaknya pendidikan? Inilah yang harus diuraikan. Pemimpin pendidikan  harus berani untuk menukar paradigma lama ini.  Pendidikan seharusnya melahirkan manusia yang sempurna - dari segi pengetahuan, kemahiran dan nilai/adab. Bukan tempang, bukan ibarat kain tak cukup panjang, tarik ke atas terbuka di bawah, tarik ke bawah terbuka di atas.

Apakah yang dapat dibawa oleh keputusan peperiksaan? Bagaimanakah gred kertas peperiksaan yang diduduki oleh seorang calon dalam tempoh 1 jam atau 1 1/2jam, dengan 60 item, boleh menunjukkan keupayaan pembelajaran seorang murid selama 5 tahun? A yang diperoleh adalah A kerana menjawab betul 60 item dalam kertas peperiksaan itu, bukan A bagi keseluruhan pembelajarannya. Dan 60 item tersebut hanyalah merupakan item pengetahuan yang mentaksir aspek kognitif sahaja. A tersebut tidak dapat menunjukkan aspek bukan kognitif atau nilai dalam pembelajaran mata pelajaran tersebut dan juga aspek psikomotor murid.

Peperiksaan dilaksanakan untuk tujuan khusus, untuk membandingkan keupayaan pelajar, berdasarkan taburan normal. Setiap kohort mempunyai taburan pencapaian yang berbeza dan tidak wajar untuk membandingkan percapaian antara kohort.  Mendasarkan kepada taburan normal, setiap mata pelajaran mempunyai taburannya sendiri dan bagi setiap taburan mesti ada kumpulan tinggi, sederhana dan rendah, tanpa mengambil kira bagaimana sifat taburan markah mentah.

Satu lagi aspek yang sering dipersoalkan adalah tentang penetapan markah sempadan, seperti markah lulus-gagal. Penetapan ini amat berbeza antara sekolah. Ada sekolah menetapkan 49 sebagai gagal dan 50 lulus. Ada sekolah menetapkan 40 lulus dan 39 gagal. Persoalannya kenapa ada variasi antara sekolah? Apakah asas bagi sekolah A menetapkan 50 dan sekolah B menetapkan 40 sebagai markah lulus? Jawapan harus bersifat akademik dan bukan hanya telahan atau agakan sahaja. 

Begitu juga kenapa 50 lulus dan 49 gagal? apabila markah 49 gagal bermakna murid yang memperoleh markah 49 adalah sama keupayaannya dengan murid yang mendapat markah 0, juga gagal. Kenapa murid yang mendapat markah 49 ini tidak disamakan keupayaan nya dengan murid yang mendapat 50? Hanya 1 markah yang membezakan mereka, pastinya keupayaan mereka lebih hampir jika dibandingkan dengan murid yang mendapat 0. Jawapan juga bersifatr akademik, bukan hanya telahan atau agakan sahaja.

Banyak lagi yang boleh dibicarakan tentang peperiksaan. Rasanya cukup sekadar ini tentang peperiksaan dan mungkin pada penulisan akan datang kita cuba melihat alternatif kepada peperiksaan. Jika di negara Eropah dan Kanada yang tidak lagi mengamalkan sistem peperiksaan dalam sistem pendidikan mereka masih berupaya menjadi negara maju dalam pelbagai bidang, kita juga seharusnya berupaya bergerak ke arah itu. Sekian.


Anak Rantau
22 Februari 2012






No comments:

Post a Comment