Salam Satu Malaysia,
Tulisan kelmarin menumpukan kepada persoalan sistem peperiksaan yang ada di negara kita. Apa yang diterakan hanya merupakan titik kecil dalam persoalan peperiksaan dalam sistem pendidikan. Dibanyak negara, sistem peperiksaan dilihat sebagai batu penghalang untuk pelaksanaan sistem pendidikan sebenar. Nyata seperti yang ada di Malaysia. Falsafah Pendidikan Negara (FPN) menyuratkan hasrat yang teramat murni tetapi KPI pencapaian dalam peperiksaan membunuh FPK. Bukan untuk menidakkan kepentingan peperiksaan tetapi peperiksaan hanyalah satu daripada banyak indikator lain sebagai petunjuk kepada kejayaan dalam pendidikan. Peperiksaan hanya memberikan maklumat tentang keupayaan kognitif, sebahagian besarnya pengingatan dan kefahaman, sedangkan pendidikan menjangkau lebih daripada itu. Apatah lagi aspek nilai, adab, amalan, aplikasi, dan banyak lagi tidak mampu diberikan oleh peperiksaan.
Bukan peperiksaan tidak penting tetapi penumpuan 100% terhadap peperiksaan mendatangkan banyak kesan yang tidak sihat. Kebajikan pendidikan sebahagian besar pelajar, dalam lingkungan 85-90% sering terabai. Tumpuan hanya diberi kepada kumpulan minoriti yang dijangka dapat memberikan keputusan yang baik kepada sekolah. Seolah peperiksaan itu adalah segalanya sedangkan hakikatnya tidak.
Kepada pelajar, peperiksaan mendatangkan bebanan yang tidak perlu terutama kepada yang berusia rendah. Kesan peperiksaan, murid seawal pra sekolah sudah dimomokkan dengan peperiksaan. Ibu bapa sudah menghantar anak-anak ke kelas tuisyen, apatah lagi apabila mereka berada pada tahun peperiksaan UPSR, PMR dan SPM. Jutaan ringgit dileburkan oleh ibu bapa ke pusat-pusat tuisyen setiap tahun. Anak-anak tidak dapat menikmati keseronokan hidup sebagai kanak-kanak kerana bergelumang dengan pelbagai aktiviti yang menjurus kepada peperiksaan. Selepas sekolah, kelas tuisyen, selepas tuisyen menghabiskan kerja rumah. Ada kalanya hingga tengah malam kerja rumah masih tidak disiapkan sehingga akhirnya ibu bapa yang membuatkannya untuk anak-anak kerana anak-anak sudah keletihan. Anak-anak tidak mahu ke sekolah sekiranya kerja rumah tidak siap kerana akan dimarahi guru. Guru terpaksa memarahi anak-anak murid kerana akan dimarahi oleh guru besar/ pengetua sekiranya keputusan peperiksaan tidak meningkat. Guru besar/ pengetua akan dimarahi oleh PPD jika keputusan sekolah tidak baik, PPD akan dimarahi oleh Pengarah Pelajaran jika keputusan sekolah tidak baik dan Pengarah Pelajaran akan dimarahi oleh Ketua Pengarah Pelajaran jika keputusan peperiksaan negeri tidak baik. Dan begitulah seterusnya setiap tahun. Apa yang dikejar adalah keputusan peperiksaan sedangkan tidak tercatat pun di mana-mana dokumen pendidikan KPI pendidikan adalah keputusan peperiksaan. Ada tokoh pendidikan yang menuturkan.."sekolah di Malaysia adalah neraka kepada anak-anak" (Quote). Kanak-kanak tidak dapat menikmati keseronokan alam kanak-kanak nya.
Untuk maklumat, di Ontario, Kanada peperiksaan sekolah sudah dihapuskan sejak 50 tahun yang lalu. Di beberapa negara Eropah seperti Finland dan beberapa negara lain, juga sama. Peperiksaan hanya diadakan untuk menentukan kemasukan ke institu pengajian tinggi - sama ada ke kolej, universiti atau tempat-latihan latihan lain.
Tanpa peperiksaan pelajar dapat belajar dengan lebih tenang dan terurus. Guru boleh merangka pengajaran mengikut keupayaan dan kecenderungan pelajar, bukan mengajar untuk menghabiskan kurikulum. Kreativiti guru boleh dimaksimumkan, begitu juga keupayaan dan kecenderungan pelajar. Baru bermakna autonomi yang diberikan kepada sekolah. Sekolah boleh merancang pembelajaran pelajar mengikut persekitaran dan keupayaan serta kecenderungan pelajar. Baru bermakna sekolah diberi peluang merangkan kurikulum sendiri. Beginilah caranya untuk guru meningkatkan profesionalisma mereka. Peperiksaan perlu untuk tujuan tertentu, dan yang paling sesuai adalah pada peringkat terminal sebelum pelajar meninggalkan alam persekolahan.
16 Februari 2010.
.
No comments:
Post a Comment