Peperiksaan
Dalam tempoh beberapa minggu lagi, keputusan peperiksaan SPM akan dikeluarkan oleh KPM. Penantian yang amat mendebarkan bagi segolongan pelajar yang digolong sebagai cream of the students di setiap sekolah. Sekumpulan yang mungkin meliputi 10-15% pelajar secara keseluruhannya daripada lebih kurang 500,000 calon SPM. Kumpulan ini akan nantinya menghiasi dada-dada akhbar dengan keputusan cemerlang akademik - 10 A+ maksimumnya. Televisyen, akhbar, majalah..semua memaparkan wajah-wajah gembira pelajar ini. Pelbagai petua dan petunjuk diceritakan bagaimana mereka memperoleh kejayaan cemerlang ini. Dan bagi 85-90% pelajar lagi, keputusan SPM disambut dengan tenang kerana mereka bukan golongan cemerlang akademik. Mereka sedar keupayaan mereka dan mereka tahu tidak akan dikejar pemberita pada hari tersebut. Namun realitinya, golongan manakah yang akan berjaya dalam hidup nanti selepas SPM? Ini merupakan persoalan yang lama sudah dibincang oleh para ilmuan - sama ada bidang pendidikan atau lainnya.
Tiada kajian empirikal yang pernah dilakukan di negara kita tentang perkara ini. Apakah matlamat pendidikan negara kita sebenarnya? Kita bangga dengan Falsafah Pendidikan Negara, satu-satunya negara didunia yang mempunyai falsafah pendidikan. Terungkap dengan indah dan merupakan hasrat yang amat sempurna, membangunkan insan yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek + sosial. Namun setiap tahun, di hampir setiap sekolah, apa yang dilakukan adalah penekanan terhadap satu bidang sahaja - intelek, dan yang lainnya disisih ke tepi demi apa yang dikatakan kecemerlangan sesebuah sekolah - prestasi terbaik dalam peperiksaan. Ini hakikatnya kerana walaupun pihak pembuat dasar menyasarkan kepada pembinaan insan yang seimbang dan menyeluruh, pembuat dasar juga menetapkan KPI sekolah adalah keputusan peperiksaan. Di mana silapnya? Akibat KPI ini, di kebanyakan sekolah, guru akan menghabiskan kurikulum seawal bulan April dan selepas itu, tiada tugasan lain kepada guru, hanya menyiapkan pelajar untuk menduduki peperiksaan. Latih tubi, gerak gempur, ujian, ujian, peperiksaan terselaras, peperiksaan daerah, peperiksaan negeri..sebut saja, semuanya menjurus kepada peperiksaan. Akibatnya?? lahirlah generasi yang tidak seimbang, hanya cemerlang akademik, dan tidak yang lainnya. Maka lahirlah mereka yang ahli dalam bidangnya tapi tanpa nilai hidup yang lain, rohani yang tidak seimbang, jasmani yang tidak seimbang, emosi yang tidak seimbang dan sosial yang tidak seimbang.
Akibat peperiksaan juga guru mengajar pelajar untuk menipu atau bersikap tidak amanah dalam hidup apabila ada segelintir guru mendapatkan soalan-soalan peperiksaan yang didakwa sebagai soalan bocor, cuba membantu pelajar dalam bilik peperiksaan dengan pelbagai taktik seperti berkawad, sedangkan peperiksaan bertujuan untuk mendapatkan pelajar yang sesungguhnya cemerlang, bukan kecemerlangan yang palsu. Kalau guru sudah mengajar pelajar menipu, apa yang akan terjadi kepada anak muridnya itu nanti???
Banyak contoh dalam kehidupan kita hari ini di mana insan yang berjaya dalam kehidupan, dunia dan akhirat, adalah pelajar yang sederhana, malah ada yang dikategorikan sebagai pelajar lemah semasa di sekolah. Ini kerana definisi kecemerlangan di sekolah hanya berpaksikan akademik sedangkan pelajar yang tidak cemerlang akademik itu memiliki kehebatan dalam bidang lain. Maka dalam kalangan pendidik dan pembuat dasar..kembalilah kepada matlamat asal pendidikan negara, pembangunan insan yang menyeluruh dan seimbang, bukan hanya akademik sahaja. Dasar sudah ada tetapi pelaksanaannya tersasar jauh. Peranan peperiksaan harus dikurangkan, sebaliknya pelajar ditaksir menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel dan humanistik. Pelaporan bukan hanya menggunakan kelulusan peperiksaan, tetapi gabungan maklumat pentaksiran. Pelaporan berbentuk A,B,C,D, E,F,G tidak memberi makna kerana tiada huraian tentang apa erti setiap abjad tersebut, sebaliknya pelaporan haruslah menerangkan tentang keseluruhan diri seseorang pelajar itu, keupayaannya dalam konstruk yang ingin dibangunkan - pengetahuan, kemahiran dan nilai.
14 Februari 2012.
No comments:
Post a Comment