Tuesday, 20 December 2011

Pemain import rencat kebangkitan bola kita?

Utusan Malaysia 21.12.12 - apakah sebenarnya pendirian FAM dalam perkara ini? ternyata dalam tempoh tiga tahun ketiadaan pemain import dalam liga nasional, negara berjaya meningkatkan mutu permainan pemain kita dan berjaya merangkul beberapa kejuaraan peringkat Asia Tenggara. Apakah pengajaran yang boleh kita dapatkan daripada pengalaman ini?  Semoga FAM dapat membuka mata dan belajar dari kesilapan masa lalu demi mutu bola sepak negara.  Tak perlulah FAM nak menunggu beberapa tahun lagi pula untuk melihat kesan penglibatan pemain import dalam liga nasional sekali lagi, kerana sejarah telah membuktikannya.  selama liga nasional menggunakan pemain import mutu bola sepak negara merudum dengan begitu teruk sekali hinggakan tewas dengan Bangladesh, Maldives serta pasukan kerdil di Asia.

Sebagai pihak yang bertanggung jawab sepenuhnya terhadap bola sepak negara, serta mempunyai pakar dalam bidang ini, mereka sepatutnya memahami bola sepak adalah permainan kemahiran tinggi yang memerlukan latihan berterusan untuk pemain mengasah kemahiran masing-masing.  Apabila posisi utama seperti penyerang dan pertahanan diambil alih oleh pemain import, kerana setiap pasukan akan mengambil pemain import untuk posisi ini kerana mahukan kemenangan, bilakah masa dan tempat untuk pemain negara mengasah kemahiran pada posisi ini?  Akhirnya, pasukan negara tidak mempunyai pemain penyerang dan pertahanan yang baik, dan pasukan bola sepak negara menjadi seperti pasukan estet.

Ketiadaan pemain import juga tidak menjejaskan kehadiran penonton di stadium. Penonton datang untuk melihat permainan berkualiti pasukan negara, dan terbukti bagaimana penonton memberikan sokongan padu walaupun pasukan  negara tewas dengan lawan. Penonton mahukan permainan berkualiti.


Justru itu, FAM harus memikirkan semula tindakan mengambil pemain import dalam liga nasional. kita tidak bangga sekiranya kemenangan pasukan adalah disebabkan oleh pemain import dan bukan pemain negara sendiri.  Sampai bila pun pemain negara tidak akan ke mana-mana. Negara yang kuat dalam bola sepak bukan mengimport pemain tetapi mengeksport pemain mereka.  Sampai bilakah kita tidak mahu mempercayai keupayaan serta kebolehan pemain sendiri sedangkan kita mempunyai banyak bakat besar yang boleh dihasilkan??

No comments:

Post a Comment