Secara tetiba, beberapa nama pelajar yang masih mentah dalam mengharungi hidup terpapar di pelbagai media, elektronik dan bukan elektronik. Seolah selebriti yang mendapat liputan meluas media, tapi malangnya liputan negatif yang menyentuh sanubari bangsa. Antaranya merupakan bakal guru yang akan diberikan tanggung jawab mendidik anak bangsa untuk menjamin kesinambungan negara bangsa ini pada masa hadapan. Tapi apakah harapan ini akan menjadi kenyataan jika dipandang dari peri laku yang telah ditunjukkan dalam tempoh beberapa hari ini oleh pelajar yang akan bergelar guru nanti? Kenyataannya, negara akan hancur, bangsa akan musnah dan lemah berdasarkan tindakan pelajar pelajar IPTA ini. antaranya:
1. Sikap biadap menurunkan bendera Perdana Menteri. Apakah ini yang dipelajari di sekolah dahulu atau di IPT masa kini? Apakah tindakan ini diturunkan dari guru-guru yang mendidik anak muda ini selama ini? Budaya Melayu penuh santun, kenapa harus dicemari. Ini bukan perjuangan kebebasan akademik tapi menjurus kepada tindakan ganas ke arah kancah huru hara. Umur baru setahun jagung, sanggup bersikap kurang ajar kepada bangsa. Tiada guru rasanya yang mendidik sebegini, tetapi pengaruh luar yang tidak bertanggung jawab. Ancaman untuk melaksanakan revolusi amat tidak waras, dan amat membahayakan negara. Apakah anak-anak muda hingusan ini sanggup melihat negara hancur hanya atas dakwaan demokrasi untuk pelajar? tahukah mereka apa itu revolusi, dan apakah kesanya kepada negara? Para guru yang pernah mendidik anak muda ini pastinya kecewa dan hampa dengan perbuatan anak muda ini.
2. Sekiranya anak muda ini menjadi guru, apakah yang akan terjadi kepada anak-anak yang dididik??? Apakah negara rela membiarkan barah yang begitu bahaya tumbuh membesar dalam sistem pendidikan negara? Sesuatu tindakan harus diambil dan manusia seperti ini tidak harus dibenarkan berada dalam sistem pendidikan negara. Ini ancaman yang amat besar yang boleh membinasakan negara. Mendakwa pemerintah bersikap zalim terhadap pelajar IPT juga merupakan tuduhan berbau politik busuk pembangkang. Dengan bilangan universiti yang begitu banyak, dengan peluang melanjutkan pelajaran yang luas, terutama kepada anak-anak Melayu, termasuk mereka yang bertindak bidap dan kurang ajar ini, dengan segala kemudahan yang diberikan oleh universiti dan pemerintah, tanggung jawab pelajar adalah untuk belajar, menuntut ilmu setinggi mungkin, untuk digunakan bagi mengemudikan negara pada masa hadapan. Universiti bukan tempat untuk berpolitik kerana hakikatnya, berpolitik di kampus hanya akan membawa kepada kegagalan dalam pelajaran.
Justru, tindakan tegas harus diambil terhadap anasir negatif sebegini. Anak-anak Melayu masih jauh ketinggalan dalam bidang pendidikan berbanding dengan anak-anak bangsa lain. Mereka harus diberikan kesedaran, bahawa tidak ada bangsa dalam dunia ini yang akan menjaga kebajikan bangsa lain, kecuali bangsanya sendiri. Dan bersyukurlah kerana kita memiliki sebuah negara yang bertuah, dirahmati Allah dengan pelbagai keistimewaan dan kekayaan. Semoga Allah melindungi negara ini daripada huru hara dan kehancuran.
No comments:
Post a Comment