Assalamualaikum semua. Esok sebahagian anak-anak akan bergembira dengan keputusan yang baik, sebahagian akan bersedih dengan keputusan yang tidak memberangsangkan tetapi sebahagian besar akan menerima keputusan dengan tenang kerana sudah tahu dan bersedia dengan keputusan yang diterima. Ya, sebahagian besar, atau majoriti anak-anak ini adalah dalam kumpulan sederhana ini. Sementara kumpulan cemerlang akan mendapat perhatian massa dan liputan akhbar , radio dan TV, kumpulan majoriti sederhana dan lemah dipinggirkan.
Senerio yang sama setiap tahun. Tetapi apakah maknanya keputusan 8A, 9A atau 10A dalam PMR? Adakah bilangan A dalam PMR itu sebagai penjamin untuk kehidupan lebih baik pada masa hadapan? kelas baik, sekolah baik, guru baik, dan akhirnya nanti pekerjaan dan kehidupan yang baik? Adakah kesemua atau sebahagian besar kumpulan ini, kumpulan yang dikatakan 'cemerlang' ini, akan berjaya dalam hidup nanti? Dan bagaimanakah nasib kumpulan majoriti yang akan mendapat keputusan sederhana dan lemah? Adakah kumpulan ini akan akhirnya nanti tersisih dan gagal dalam hidup?
Cuba fikirkan..apakah maknanya A dalam Matematik, A dalam Sains, A dalam Pendidikan Moral atau mata pelajaran lain? Adakah A dalam Sains atau Matematik bermakna anak ini memang telah menguasai 100% pengetahuan dan kemahiran dalam mata pelajaran ini? atau adakah A dalam mata pelajaran Pendidikan Moral bermakna anak ini memang bermoral tinggi dan tidak melakukan kerja-kerja tidak bermoral?
Hakikatnya, peperiksaan awam di negara kita mengamalkan pendekatan 'rujukan norma' di mana keputusan setiap kohort tidak boleh dibandingkan dengan kohort yang lain. A setiap tahun tidak sama maknanya, kerana murid yang mengambil peperiksaan dan item yang dijawab tidak sama. Di samping itu, A yang diperolehi hanya berdasarkan keupayaan murid menjawab betul daripada 50, 60 atau 70 item dalam satu-satu instrumen pentaksiran. Maknanya A tersebut bukan membayangkan sejauh mana pengetahuan murid dalam mata pelajaran tersebut tetapi menunjukkan bilangan item yang betul dijawab murid dalam satu-satu instrumen.
Peperiksaan awam kita tertumpu kepada aspek kognitif sahaja. Oleh itu A yang diperolehi tidak dapat menunjukkan keupayaan murid dalam bidang bukan kognitif seperti bidang afektif dan psikomotor, walaupun aspek ini merupakan bahagian penting dalam sistem pendidikan negara. Oleh itu, pandangan massa terhadap keputusan peperiksaan harus diubah suai untuk memahami makna sebenarnya. Tiada kajian khusus dijalankan terhadap isu ini tetapi terdapat bukti menunjukkan kejayaan seseorang murid pada masa hadapan tidak ditentukan oleh kecemerlangan keputusan pepeeriksaan, tetapi lebih kepada jati diri dan kesungguhan individu. Mereka mungkin kurang berjaya dalam PMR tetapi boleh mencapai kejayaan cemerlang dalam hidup atas keyakinan dan kegigihan. Ada murid yang cemerlang dalam peperiksaan tetapi gagal dalam hidup kerana ketidak seimbangan antara akademik dan bukan akademik, cemerlang dalam aspek kognitif tetapi lemah dalam kemahiran dan nilai hidup.
No comments:
Post a Comment