Friday, 23 March 2012

TambahTolakDarabBahagi : Pendidikan dan Pentaksiran Pendidikan VI : Pentaksiran Psikometrik

Salam sejahtera untuk semua yang sudi mengikuti penulisan ini.

Pada kali ini, saya ingin menerangkan serba sedikit tentang Pentaksiran Psikometrik (PPsi), yang saya katakan merupakan sesuatu yang baru kepada kebanyakan guru dan mungkin sukar untuk difahami pada peringkat awal,kecuali Kaunselor yang telah biasa dengan bentuk pentaksiran ini. Walaupun penulisan ini tidak menghuraikan dengan terperinci, sekurang-kurangnya diharap para pendidik  atau sesiapa yang berminat yang membaca penulisan ini dapat memahami apa yang dihasratkan oleh PPsi ini.

Terdapat tiga jenis ujian dalam PPsi iaitu Ujian Aptitud Am, Ujian Aptitud Khusus dan Inventori Personaliti.

Apa dia Aptitud dan Ujian Aptitud?

Aptitud -  didefinisikan sebagai kecenderungan dalam diri untuk belajar (innate learning ability), keupayaan khusus yang terdapat dalam diri seseorang, sama ada wujud secara semula jadi atau dipelajari,  yang diperlukan untuk memudahkannya melakukan sesuatu pekerjaan, aktiviti, kecenderungan, bakat istimewa, kesesuaian, kesediaan, atau tendensi. Kapasiti  ke arah aktiviti tertentu
 atau komponen kompetensi yang sedia ada dalam diri seseorang. Berkait rapat dengan minat, kerana minat menggalakkan pembelajaran berlaku dengan lebih mudah dan berkesan.

Ujian Aptitud - instrumen yang digunakan untuk meramal kejayaan seseorang dalam bidang pekerjaan atau pembelajaran.  Ia juga berperanan sebagai panduan untuk menunjukkan potensi diri seseorang.

Ujian Aptitud Am - instrumen yang mengandungi sekumpulan  item gabungan beberapa kebolehan iaitu Kemahiran Berfikir, Kemahiran Menyelesaikan Masalah dan Membuat Keputusan dan juga untuk mendapatkan maklumat tentang minat, kecenderungan dan kesediaan murid.

Ujian Aptitud Am dicadangkan diambil oleh semua murid Tahun 6 pada akhir tahun, dikendalikan oleh LP sepenuhnya untuk mendapatkan maklumat am murid tentang kemahiran asas literasi, numerasi dan minat/kecenderungan dalam bidang tertentu.  Maklumat ini penting kepada guru peringkat menengah yang akan menerima murid-murid ini bagi mengetahui kecenderungan, kekuatan dan kelemahan seseorang murid. Ini akan membolehkan guru peringkat menengah menyediakan pelan pengajaran yang disesuaikan dengan murid-murid yang akan diterima.  Maklumat ini juga boleh membantu pihak tertentu membuat keputusan bagi tujuan seperti penempatan dan meramal pencapaian masa depan murid.

Bagi Tingkatan 3, dicadangkan agar ujian ini diwajibkan kepada semua murid, tetapi dikendalikan oleh pihak sekolah tanpa jadual khusus. Murid boleh mengambil ujian ini mengikut kesesuaian yang difikirkan terbaik oleh pihak sekolah.  Pada tahap ini, Ujian Aptitud Am dikendalikan bagi mendapatkan maklumat murid dari segi kemahiran berkomunikasi, kemahiran berfikir, interaksi dengan alam sekitar, manusia dan Tuhan serta minat/ kecenderungan murid terhadap bidang-bidang tertentu.  Maklumat daripada ujian ini boleh membantu guru memandu murid merencanakan pemilihan bidang pelajaran serta laluan kerjaya masa depan mereka. 

Bagi murid Tingkatan 5, wajib untuk semua murid tetapi tidak berjadual. Dikendalikan oleh pihak sekolah, tujuannya bagi mendapatkan maklumat murid tentang kemahiran spesifik murid serta minat/ kecenderungan mereka terhadap bidang tertentu.  Maklumat ini boleh membantu murid melakar perjalanan pembelajaran serta bidang pekerjaan yang ingin diceburi, dengan panduan guru dan juga kaunselor sekolah.

Ujian Aptitud Khusus - instrumen yang mengandungi sekumpulan item untuk mendapatkan maklumat tentang kebolehan khusus seseorang murid, potensi seseorang dalam sesuatu bidang atau pekerjaan. Terdapat 6 bidang utama berkaitan minat, bakat serta kecenderungan yang diuji iaitu Naturalis (pintar naturalisme), Kinestatik-Jasmani (pintar jasmani), Intrapersonal (pintar diri), Interpersonal (pintar orang/pengalaman sosial), kreativiti (pintar minda) dan muzik (pintar muzik).  Maklumat daripada ujian ini membolehkan guru dan juga kelayan/majikan mengenal pasti kecenderungan seseorang untuk disesuaikan dengan bidang yang hendak diikuti serta pekerjaan yang ingin diceburi. 

Inventori Personaliti - merupakan set ujian bagi mendapatkan maklumat tentang personaliti seseorang murid bagi membolehkan guru menyusun strategi pengajaran yang sesuai. Personaliti berkait rapat dengan ciri dalaman seseorang yang boleh mempengaruhi cara pembelajarannya. Di samping membantu guru, maklumat ujian ini juga membantu murid mengenali diri mereka sendiri dan memahami diri orang lain bagi melahirkan insan yang  dihasratkan dalam FPK. Kemungkinan terdapat murid yang menghadapi masalah personaliti dan guru disaran merujuk kepada pihak yang berkaitan sekiranya masalah yang dihadapi agak kronik. Mengenal pasti personaliti seseorang murid pada peringkat awal amat penting untuk membolehkan tindakan awal dijalankan sekiranya terdapat murid yang menghadapi masalah dalam personaliti diri mereka.

Bagi inventori personaliti, konstruk yang ditaksir adalah:

Pra Sekolah, Tahun 1 -2 :  komunikasi/ hubungan dengan orang lain dan bekerja dalam kumpulan.
Tahun Tahun 3 - 11 : ekstraversion, nilai/akauntabiliti, kefungsian emosi (emotional functionality), penyesuaian budaya, kerohanian, ketekalan rohani (spiritual stability), jati diri, kepimpinan, keusahawanan dan etika.

Instrumen : guru tidak perlu risau memikirkan instrumen yang canggih dan pelbagai.  Aptitud, minat dan personaliti boleh dikenal pasti menggunakan kaedah yang mudah yang memang guru gunakan dalam proses pengajaran. Antara kaedah yang boleh digunakan adalah soal selidik, senarai semak, perbualan, lakonan, dan sebagainya. Maklumat yang diperoleh direkodkan secara sistematik dan dilaporkan secara deskriptif, khusus bagi setiap individu.


Sekian, buat kali ini. Sekiranya ada pandangan atau cadangan amat dialu-alukan.

Anak Rantau
23 Mac 2012



No comments:

Post a Comment